PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melancarkan Op Lerai terhadap empat premis barangan terpakai yang disyaki menjalankan perniagaan secara haram sekitar Kampung Bukit Lanchong di Subang Jaya, baru-baru ini.
Operasi ini melibatkan tujuh pegawai serta 27 anggota MBSJ serta dibantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya dan tiga pegawai Pejabat Tanah Daerah Petaling.
Lokasi sasaran terletak kira-kira 11 kilometer dari ibu pejabat MBSJ.
Pemeriksaan awal mendapati, premis yang tidak mempunyai papan tanda perniagaan, dipercayai berselindung di sebalik kawasan kampung bagi mengelak perniagaan haram mereka dikesan pihak berkuasa.
Ketika serbuan, seorang pekerja tempatan memberikan alasan kad pengenalannya hilang, ketika diminta oleh pegawai.
Hasil semakan nombor kad pengenalan, pekerja terbabit dipercayai termasuk dalam senarai individu dikehendaki polis dan dikesan mempunyai beberapa kes jenayah lampau melibatkan dadah.
Siasatan lanjut mendapati, lelaki berusia 30 tahun itu dipercayai bekerja di premis milik warga tempatan ini sejak dua tahun lalu dengan bayaran sebanyak RM1,500 sebulan.
Selain tidak mempunyai lesen yang sah untuk menjalankan perniagaan barang lusuh, premis ini turut dikesan menyalahgunakan syarat milikan tanah.
Tanah tersebut sepatutnya digunakan untuk tujuan-tujuan pertanian seperti perniagaan melibatkan pertanian, namun ia disalahguna untuk dijadikan sebagai tempat mengumpul barang-barang lusuh.
Pemilik premis tersebut mendakwa kononnya tidak mengetahui syarat status kategori kegunaan tanah yang ditetapkan sepanjang 18 tahun menjalankan perniagaan itu.
Menerusi semakan pihak Pejabat Daerah dan Tanah Petaling (PTD) terhadap lot tanah berkenaan, tiada sebarang permohonan tukar syarat dikemukakan pemilik tanah bagi membolehkan tanah disewakan untuk kegunaan kategori lain selain pertanian.
Susulan kegagalan mematuhi peraturan nyata tanah, pemilik tanah diberikan notis 7A di bawah Seksyen 128 Kanun Tanah Negara 1965 dan perlu memulihkan pelanggaran syarat dengan segera.
Dalam operasi ini empat pemilik premis barangan lusuh yang diserbu dikenakan kompaun mencecah RM1,000 selain tindakan penutupan premis mengikut Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBSJ 2007.
Semua pemilik serta pekerja premis dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk siasatan lanjut.
Tonton episod ‘MBSJ Serbu Premis Barang Lusuh’ dan pelbagai rangkuman kes sepanjang minggu dalam program 999 malam ini di TV3.
Program 999 bersiaran setiap Selasa, jam 9 malam dan strim sekarang melalui Tonton!