Tumpuan :
Nasional

Prasarana rancang guna sistem pembayaran terbuka semua perkhidmatan pengangkutan awam

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sedang merancang untuk melaksanakan Sistem Pembayaran Terbuka bagi seluruh rangkaian perkhidmatan pengangkutan awam rel dan bas termasuk di bawah kendalian Rapid Bus di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pembangunan sistem berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun 2024 hingga 2026.

“Apabila selesai dilaksanakan, bayaran melalui Touch N Go, kad debit atau kredit akan dapat digunakan,” katanya dalam jawapan lisan di Parlimen semalam.

Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang ingin tahu adakah bas Rapid Penang akan menggunakan cara pembayaran selain daripada tunai, seperti Touch N Go, kad debit atau kredit berikutan ketika ini hanya dibenarkan menggunakan tunai yang agak ketinggalan dan menyukarkan pelancong.

Loke menjelaskan, ketika ini warganegara Malaysia yang menjadi pengguna pengangkutan awam di Pulau Pinang digalakkan untuk melanggan Pas Mutiara My50.

“Pas Mutiara My50 berkenaan diberi subsidi sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Pengguna hanya dikenakan bayaran RM10 untuk penggunaan kali pertama dan menikmati perjalanan tanpa had di esemua laluan bas Rapid Penang selama 30 hari berturut-turut secara percuma,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini