Tumpuan :
Nasional

Prasarana cadang tambah 300 bas Rapid KL pada 2024

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melalui Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) berhasrat menambah hampir 300 bas termasuk 100 bas elektrik membabitkan peruntukan bernilai RM180 juta pada 2024.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah, berkata fasa pertama penambahan bilangan bas itu hanya membabitkan perkhidmatan Rapid KL susulan permintaan tinggi dalam kalangan penduduk di ibu negara.

“Kita mula membuka tender pada suku pertama 2023 dan peruntukan disediakan juga membabitkan kerja menaik taraf infrastruktur dan kabel elektrik di depoh stesen bagi proses pengecasan.

“Menjelang suku pertama 2023, Rapid Bus menyasarkan sebanyak 1,183 bas akan beroperasi setiap hari. Bilangan bas itu masih sedikit berbanding negara mempunyai pengangkutan awam yang efisien seperti Singapura,” katanya.

“Jadi, melalui pembaharuan ini, kita mendengar pendapat dan cadangan daripada orang ramai yang mahukan perkhidmatan bas mini dikembalikan.

“Kita lihat perkhidmatan bas mini lebih efisien, kerana lebih mudah bergerak melalui kawasan sibuk dan jalan sempit seperti kawasan perumahan, selain mempunyai kekerapan tinggi,” katanya.

Mohd Azharuddin berkata, Rapid KL pernah melakukan percubaan menggunakan bas elektrik bagi koridor Bus Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway, dalam operasi perkhidmatan basnya di dua laluan bas terpilih selama tiga bulan bermula April hingga 13 Jun lalu.

Dua laluan percubaan terbabit adalah Laluan 400: Damai Perdana ke Hab Lebuh Pudu melalui Bukit Bintang dan Laluan 650: Taman Desa ke Hab Pasar Seni menggunakan kaedah pengecasan semalaman.

“Melalui hasil percubaan ini, kita yakin dapat menggerakkan 100 bas elektrik ini, selari dengan pertambahan sistem rel pada masa depan, sekali gus menawarkan perkhidmatan yang optimum kepada pengguna pengangkutan awam,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini