Tumpuan :
Nasional

Prasarana buat laporan polis, insiden gaduh akibatkan kerosakan di stesen, pintu dan cermin tingkap tren

Tangkap layar video tular

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah membuat laporan polis berhubung kejadian gaduh dipercayai meibatkan sekumpulan penyokong bola sepak yang berlaku di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang Sri Petaling tengah malam tadi.

Menerusi satu kenyataan media hari ini, Prasarana menegaskan sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan dalam memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap individu-individu terlibat.

“Pihak pasukan polis bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengambil tindakan dalam meleraikan pergaduhan yang melibatkan sekumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang / Sri Petaling sekitar jam 12 tengah malam tadi.

“Insiden ini telah mengakibatkan kerosakan pada kemudahan di stesen serta pada bahagian pintu dan cermin tingkap tren yang berada di platform.

“Walau bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan semasa kejadian tersebut. Pasukan polis bantuan telah membawa keluar kumpulan penyokong yang terlibat dari Stesen LRT Bandar Tasik Selatan untuk mengelakkan sebarang situasi yang lebih merbahaya,” jelas kenyataan itu.

Prasarana juga menegaskan kesal dengan kejadian itu dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk kekerasan dan kelakuan agresif di stesen dan di dalam tren.

“Prasarana juga ingin memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Besi berkaitan insiden ini, dan sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan tindakan yang sewajarnya diambil terhadap individu-individu yang terlibat.

“Sebagai pengendali perkhidmatan rel dan bas Rapid KL di Lembah Klang, Prasarana komited untuk memastikan bahawa sistem pengangkutan awam sentiasa menjadi tempat yang selamat dan selesa untuk semua pengguna.

“Kami juga menyeru kepada semua pengguna untuk menunjukkan sikap yang lebih bertanggungjawab dan beradab ketika menggunakan perkhidmatan kami,” jelas Prasarana lagi.

Terdahulu, tular di media sosial pergaduhan dipercayai berlaku sekumpulan lelaki di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan tengah malam tadi.

Video tular itu memaparkan tindakan agresif kumpulan lelaki berkenaan berada di luar sebuah tren LRT dengan kumpulan lelaki di dalam tren terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini