Tumpuan :
Nasional

Prabowo tiba di Malaysia, fokus perkukuh hubungan dua hala

KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan kerja sehari, dengan pesawat khasnya mendarat di Kompleks Bunga Raya, KLIA, pada jam 10.15 pagi.

Ketibaan Prabowo disambut oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono. Beliau turut menerima penghormatan kawalan kehormatan statik oleh 28 anggota Rejimen Renjer Diraja (Istiadat).

Lawatan ini adalah yang pertama bagi Prabowo ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden Indonesia pada Oktober 2024.

Prabowo dijadualkan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam perbincangan tertutup mengenai isu dua hala serta potensi kerjasama baharu sebelum menghadiri majlis makan tengah hari.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan ini menzahirkan hubungan erat Malaysia-Indonesia yang berpaksikan kerjasama kukuh dalam bidang ekonomi, sosio-budaya, pertahanan, dan keselamatan.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan memainkan peranan penting dalam membincangkan usaha memperkukuh komuniti ASEAN serta menangani cabaran global bersama Indonesia.

Statistik perdagangan menunjukkan Indonesia adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dalam kalangan ASEAN, dengan jumlah dagangan dua hala sebanyak RM95.50 bilion dari Januari hingga Oktober 2024, meningkat berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini