Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sebagai sahabat susah senang.
Berkongsi kisah lama, Anwar memaklumkan, pemimpin itu tidak pernah berganjak sewaktu dirinya berdepan dengan situasi sukar.
“Beliau (Prabowo) merupakan sahabat setia. Sentiasa memerhatikan dan mengambil berat dalam masa duka lara saya yang panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama pemimpin itu selepas mengadakan pertemuan tertutup di Menara Berkembar Petronas hari ini.
Dalam pada itu, Prabowo juga sempat menyingkap sejarah lama bersama Malaysia yang dianggap tidak asing.
Menurutnya, Malaysia sememangnya cukup dekat dengan dirinya. selain mempunyai ahli keluarga yang menetap lama di Malaysia, malah ada yang bermula sejak di bangku persekolahan.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin itu tiba sekitar jam 2.26 petang menerusi pertemuan secara tertutup bagi membincangkan beberapa perihal negara khususnya kerjasama bilateral.
Terdahulu, Prabowo diberikan Sambutan Rasmi Negara sebelum menuju ke Istana Negara untuk Majlis Jamuan Negara atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.