
KUALA LUMPUR: Selepas melalui proses penyediaan hampir sembilan bulan, Pelan Pendidikan Tinggi (PPTM) 2025-2035 dijangka dilancarkan, tahun ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata salinan cetakan biru PPTM 2025-2035 itu bakal memberikan dimensi baharu kepada pendidikan tinggi negara, selain akan diangkat ke peringkat seterusnya.
“Pada awal saya masuk ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), saya menyatakan, kita mempunyai pakar tempatan yang mampu menghasilkan pelan pendidikan tinggi untuk negara bagi jangka masa 10 tahun akan datang.
“Alhamdulillah. Selepas hampir sembilan bulan, bersama lebih 8,226 pihak berkepentingan melalui sesi perbincangan, validasi dan tinjauan kebangsaan, hari ini telah diadakan Majlis ‘Sign-Off’ PPTM 2025-2035.
“Simboliknya saya menerima senaskhah salinan buku ‘blueprint’ (cetakan biru) ini daripada Ketua Jawatankuasa Pakar, Datuk Prof Emerita Dr Asma Ismail,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Dalam pada itu, Zambry menegaskan, keutamaan KPT ketika ini adalah tindakan susulan bagi setiap perancangan PPTM 2025-2035, mampu diterjemahkan kepada pelaksanaan sebaiknya.
“Insya-Allah dokumen ini akan diangkat ke peringkat seterusnya sebelum dilancarkan, pada tahun ini. Dalam ucapan saya menghargai segala susah-payah pihak sekretariat terdiri daripada anak tempatan keseluruhannya. Satu kebanggaan buat negara.
“Semoga tersedianya ‘blueprint’ ini akan membawa dimensi baharu kepada pendidikan tinggi negara. Paling penting ialah tindakan susulan bagi setiap perancangan di atas kertas ini, ditukar kepada pelaksanaan sebaiknya.
“Sama-sama kita doakan PPTM 2025-2035 yang merangkumi lebih 240 mesyuarat, 100 kajian rujukan dan 181 individu termasuk pakar akademik serta kumpulan penulis daripada Universiti Putra Malaysia ini akan menjadikan Malaysia hub rujukan antarabangsa,” katanya.