Tumpuan :
Nasional

PPS ditutup, banjir Kota Tinggi dan Johor Bahru pulih sepenuhnya

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Banjir di Johor Bahru serta Kota Tinggi pulih sepenuhnya apabila pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di dua daerah terbabit ditutup sepenuhnya petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata ketika kini hanya Kluang dan Pontian masih terkesan dengan 230 mangsa membabitkan 72 keluarga ditempatkan di tiga PPS yang masih beroperasi di dua daerah itu.

“Di Kota Tinggi, PPS terakhir di Balairaya Kampung Perpat sudah ditutup selepas 28 mangsa membabitkan sebuah keluarga dibenarkan pulang ke rumah.

“PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Nam Heng di Johor Bahru juga ditutup sepenuhnya dengan 53 mangsa daripada 16 keluarga dibenarkan pulang,” katanya hari ini.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir di mana-mana daerah di negeri ini, namun terdapat amaran hujan berterusan tahap waspada di Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru yang dijangka pada Jumaat hingga Ahad ini.

Pada masa sama, tiada sungai dilaporkan pada paras bahaya, namun Sungai Kahang yang juga sub lembangan Sungai Endau di Kluang mencatatkan paras bacaan air sungai di tahap amaran dengan bacaan 14.45 meter.

Setakat jam 4 petang ini, hanya Kota Tinggi dilaporkan hujan, manakala Muar, Pontian, Segamat, Batu Pahat dilaporkan mendung serta daerah lain dilaporkan cerah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini