Tumpuan :
Nasional

PPS dibuka tempatkan mangsa ribut di Semporna

Keadaan penempatan penduduk yang terjejas akibat angin kencang dan ribut. – FOTO: Ihsan Bomba

SEMPORNA: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang terletak di Program Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria di sini, dibuka hari ini bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat kejadian ribut awal pagi tadi.

Pegawai Daerah Semporna Alexander Liew berkata PPS itu akan menempatkan penduduk terjejas dari empat kampung iaitu Kampung Selamat, Kampung Seri Aman, Kampung Sejati serta Kampung Batu.

“Selain itu, bantuan termasuk makanan akan turut diberikan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 102 rumah rosak, 11 rumah roboh termasuk dua surau rosak akibat ribut berkenaan.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna Arif Abdul Razak berkata berlaku kejadian ribut angin kencang serta hujan lebat pada 3 pagi tadi, dan pihaknya menerima aduan berlaku kejadian rumah rosak serta roboh di empat kampung.

“Kejadian ribut itu turut menyebabkan tiang elektrik tumbang dan bekalan elektrik terputus, selain lebih 100 rumah mengalami kerosakan pada atap rumah serta ada rumah yang roboh, termasuk lebih 15 kenderaan turut rosak,” katanya lagi. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini