![](https://media.buletintv3.my/2023/01/dBUAYVwW-TEMPLATE-CMS-PP-8.jpg)
KUANTAN: Pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Denai, Rompin ditutup pada jam 2 petang, hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang memaklumkan penutupan PPS itu selepas 27 mangsa daripada lapan keluarga pulang ke rumah hari ini.
Sementara itu, berdasarkan laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula merekodkan Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong, Rompin melepasi paras amaran.
Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera dan Sungai Belat, Kuantan merekodkan bacaan melepasi paras waspada.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini, mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat kuning (waspada) di Pahang membabitkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin sehingga esok.