Tumpuan :
Nasional

PPM rampas 102,300 liter diesel subsidi, 6 lelaki ditahan

Pasukan Polis Marin merampas 102,300 liter diesel subsidi di stor penyimpanan minyak di, Inanam, di sini, semalam. – Foto: PPM

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi apabila menahan enam lelaki dan merampas 102,300 liter diesel subsidi di stor penyimpanan minyak di, Inanam, di sini.

Serbuan kira-kira jam 12 tengah hari oleh Unit Gempur Marin (UNGERIN) PPM Wilayah Empat Sabah, semalam turut merampas beberapa kenderaan termasuk lori tangki dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM1,239,545.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, serbuan itu dijalankan menerusi Op Taring Landai.

“Pemeriksaan dilakukan dalam premis berkenaan mendapati terdapat aktiviti penyimpanan minyak diesel bersubsidi tanpa kebenaran.

“Siasatan lanjut juga mendapati mereka gagal menunjukkan dokumen pemilikan/menyimpan barang bersubsidi yang sah dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, terdapat enam lelaki yang tidak dikenali yang disyaki sebagai pekerja di dalam premis berkenaan.

“Semua suspek berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun ditahan dan 12 tangki simpanan, enam kenderaan termasuk lori tangki dan minyak diesel dianggarkan 102,300 liter dirampas.

“Pasukan serbuan turut merampas tujuh unit motor pam, empat tong dan gulung hos minyak pelbagai saiz. Anggaran nilai rampasan RM1,239,545,” katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada pihak KPDN untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Serbuan ini susulan kejayaan PPM menyerbu sebuah stor penyimpanan disyaki minyak diesel bersubsidi di sekitar kawasan bandar raya ini, seminggu yang lalu.

“Dalam serbuan itu, merampas 93,100 liter diesel, beberapa kenderaan serta menahan 10 lelaki,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini