comscore
Tumpuan :
Nasional

Poster dakwa pengeluaran KWSP secara bulanan palsu – Fahmi Fadzil

PETALING JAYA: Poster mendakwa kerajaan bersetuju supaya pengeluaran kepada pencarum-pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah mencapai umur 55 dibuat secara bulanan adalah tidak benar.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata beliau telah menyemak maklumat itu dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah dan meminta pihak KWSP untuk memberikan penjelasan sepenuhnya.

“Sebagai seorang menteri yang menjaga isu komunikasi saya dengan segera tidak menghantar (poster itu) kepada orang lain kecuali kepada Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah sendiri.

“Beliau telah menyampaikan mesej kepada saya beliau menyatakan ini masih di peringkat kajian, tidak ada hasrat pada waktu ini untuk mengenakan dasar tersebut kepada mana-mana pencarum sedia ada,” katanya ketika berucap pada Program Kita MADANI Peringkat Negeri Selangor di Banting.

Beliau meminta masyarakat untuk merujuk kepada komuniti MADANI yang memainkan peranan penting untuk memastikan isu-isu tersebut dipanjangkan kepada pihak atasan supaya penjelasan yang tuntas dan jelas dapat disampaikan.

“Komuniti MADANI merupakan platform yang tepat untuk menyalurkan informasi terkini dan sahih mengenai dasar-dasar dan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan kepada rakyat secara berterusan.

“Selain itu, Komuniti MADANI juga menjadi platform untuk menjelaskan dan menangkis sebarang isu, fitnah dan berita palsu yang menular,” katanya.

Foto : Fahmi Fadzil / Facebook

Kementerian Komunikasi Digital telah menubuhkan 1,878 Komuniti Madani di seluruh negara bagi menyalurkan maklumat yang sahih dan tepat.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 168 adalah di Selangor.

Badan sukarela yang diwujudkan terdiri daripada pelbagai kaum itu ditadbir urus oleh Jabatan Penerangan Malaysia.

 

Loading...
Terkini