
GUA MUSANG: Pos Balar dan Pos Belatim bakal menerima Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Alternatif, yang membabitkan sistem solar hibrid menjelang tahun 2026.
Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dalam kenyataannya berkata, BELB itu juga akan membabitkan kampung pedalaman Orang Asli yang masih belum menerima bekalan elektrik grid.
Katanya, permohonan untuk projek itu sudah dikemukakan dalam Rancangan Pertama (RP1) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2026.
“Selain itu, sebagai langkah segera, JAKOA sedang mengenal pasti lokasi yang memerlukan penyelesaian sementara melalui pemasangan lampu solar dengan kerjasama agensi berkaitan dan NGO.
“Usaha ini bertujuan untuk memastikan kampung-kampung yang terkesan dapat menikmati pencahayaan asas sebelum pelaksanaan projek seperti yang sudah dimohon.
“JAKOA komited mencari penyelesaian terbaik dan memastikan kesejahteraan serta kebajikan masyarakat Orang Asli terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Semalam media melaporkan, lebih 2,000 penduduk Orang Asli kaum Temiar di Pos Balar dan Pos Belatim, di sini, berharap bilangan lampu solar di penempatan mereka di tambah.
Penghulu Kampung Sempadik, Pos Belatim, Husin Dollah berkata, sehingga kini penduduk di kawasan pedalaman daerah ini masih menggunakan pelita dan lilin pada waktu malam untuk menerangi rumah mereka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.