comscore
Tumpuan :
Nasional

Portal KKMNOW Dilancar

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan portal dikenali KKMNOW iaitu medium penyampaian data kesihatan yang tepat, terkini dan relevan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, portal KKMNOW dilengkapi dengan data kesihatan berkaitan fasiliti, data program kesihatan termasuklah pendermaan darah, organ, saringan kesihatan, Peka B40, data berkaitan penyakit berjangkit dan COVID-19.

“Langkah ini adalah selaras dengan pelan pendigitalan perkhidmatan kesihatan dan juga usaha KKM mewujudkan satu platform bersepadu bagi tujuan perkongsian serta rujukan data pengurusan KKM dan seluruh rakyat negara ini.

“Portal KKMNOW akan menjamin kelestarian usaha transformasi data KKM dengan memastikan ketelusan data KKM dan pada masa yang sama, kerahsiaan maklumat peribadi pesakit kekal terpelihara.

“Portal COVIDNOW kini menjadi ciri di dalam ‘tab’ Portal KKMNOW,” katanya ketika berucap melancarkan Portal KKMNOW di sini, hari ini.

https://youtu.be/uOt3-4sINYc

Beliau berkata, portal KKMNOW yang dibangunkan bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) direka untuk memaparkan data kesihatan yang diperolehi bukan sahaja daripada KKM tetapi juga melalui jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi.

Katanya, langkah itu diharap dapat meruntuhkan cara kerja silo dalam kalangan agensi kerajaan dan akan memudahkan kumpulan penyelidik serta pembuat dasar memperolehi data berkaitan kesihatan.

“Buat julung kalinya, kita menyenaraikan semua fasiliti kesihatan KKM di seluruh negara dan dikategorikan mengikut daerah, negeri serta jenis fasiliti.

“Dulu kita hanya tunjukkan kapasiti penggunaan katil di hospital untuk kes COVID-19 tetapi portal KKMNOW akan memaparkan keseluruhan kadar penggunaan katil. Ini akan memudahkan pihak pengurusan memantau dan mengenal pasti apa yang berlaku di satu-satu hospital.

“Portal ini paparkan data harian pendermaan darah malah data ini sejak tahun 2019. Kita akan tahu jenis darah yang diderma, bilangan penderma darah baharu. Dalam seminggu dua ini akan dikemas kini data mengenai stok bekalan darah mengikut jenis darah dan negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, masyarakat sivil akan memperoleh manfaat daripada portal berkenaan melalui bekalan data yang lebih berkualiti untuk menyokong aktiviti-aktiviti di peringkat komuniti.

Sektor swasta pula boleh menggunakan data tersebut untuk memacu daya inovasi, menjana nilai ekonomi dan merancang perkhidmatan yang dapat melengkapi perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan kerajaan.

“Lebih penting lagi, perkongsian dan penyampaian maklumat dan data dalam bentuk yang lebih menarik dan mudah difahami diharap mampu membantu Keluarga Malaysia serta pihak yang berkepentingan untuk membuat keputusan yang terbaik berpandukan maklumat yang tepat terutamanya dalam aspek penjagaan kesihatan diri,” katanya.

Portal KKMNOW boleh diakses melalui pautan https://data.moh.gov.my/ sama ada di komputer (desktop) atau peranti mudah alih (telefon pintar).

Loading...
Terkini