KUALA LUMPUR: Pelan keselamatan komprehensif perlu dirangka Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendepani cabaran jenayah baharu termasuk pornografi kanak-kanak dan buli siber.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata langkah pencegahan berterusan dan berstrategi serta pembanterasan jenayah secara agresif dan menyeluruh mampu membina persepsi positif terhadap PDRM.
“Dari sudut pandang jenayah, saya berharap Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) terus mengekalkan komitmen dalam usaha bersama mengurangkan indeks jenayah.
“Pada masa sama, untuk kita merangka pelan keselamatan yang komprehensif bagi mendepani cabaran jenayah baharu seperti pornografi kanak-kanak, siber seksual, buli siber dan pemerdagangan manusia yang semakin mendapat perhatian masyarakat.
“Langkah pencegahan berterusan dan berstrategi serta pembanterasan jenayah secara agresif dan menyeluruh dapat membina persepsi positif, sekali gus menaikkan imej PDRM di mata masyarakat,” katanya dalam amanat menerusi Perhimpunan Bulanan Ogos 2022 di Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata, kepercayaan serta sokongan diberikan kepada institusi polis harus dibalas sebaik-baiknya menerusi penyampaian perkhidmatan terbaik, di samping memastikan kesejahteraan masyarakat dan keamanan negara kekal menjadi keutamaan pasukan.
Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, mengambil peluang kehangatan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 pada 31 Ogos nanti, semua anggota PDRM diminta meletakkan diri pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dan sedia berkhidmat dalam apa jua situasi.
“Jika dahulu pejuang negara berjaya menuntut kemerdekaan daripada penjajah, kini kita pula berada pada era untuk mengekalkan kemerdekaan sebuah negara berdaulat agar ia tidak kembali dijajah dalam apa jua bentuk ancaman mendatang.
“Sekali lagi ingin ditegaskan bahawa keutuhan integriti dan disiplin diri tinggi adalah perkara utama serta tidak boleh dikompromi khususnya membabitkan isu keselamatan negara.
“Jelas sekali bahawa integriti adalah teras dalam pembentukan dan pemantapan jati diri kita, tanpa jati diri dan integriti kukuh, sudah semestinya dan pastinya kita akan berhadapan dengan kegagalan,” katanya.
Beliau berkata, sesungguhnya PDRM berada pada landasan perjuangan yang menuntut pengorbanan tanpa balasan.
“Kita hanya mengharapkan sokongan dan doa, semoga sentiasa berada di bawah payung lindungan tuhan Yang Maha Esa untuk terus mampu berjuang demi memikul amanah serta tanggungjawab kepada Raja dan negara,” katanya.
Pada majlis terbabit, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 65 pegawai polis dan pegawai awam yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan. – BERITA HARIAN