comscore
Tumpuan :
Nasional

Populasi suku kaum Ukit hanya tinggal 376 orang

Sebahagian penduduk yang tinggal di Rumah Ukit, Sungai Asap. – FOTO: NSTP

SIBU: Suku kaum Ukit, antara masyarakat minoriti yang kurang dikenali di Sarawak dengan populasi hanya 376 orang, bakal diketengah oleh Persatuan Fotografi Sibu (SPA) dalam pameran anjuran mereka di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini dari 27 Disember hingga 2 Januari depan.

Presiden SPA Edwin Ong Wee Kee berkata, sebanyak 50 foto terbaik komuniti itu yang dirakam semasa tugasan empat hari persatuan itu di Rumah Ukit, Sungai Asap, Belaga di pedalaman Sarawak bulan lalu akan dipamerkan pada pameran tersebut.

“Orang Ukit adalah etnik minoriti kecil yang sebelum ini dikenali sebagai nomad di hutan hujan Kepulauan Borneo. Populasi mereka adalah kecil dan berdepan kemungkinan mengalami asimilasi etnik. Ini adalah etnik kelapan yang direkodkan dalam projek saya iaitu Geografi Manusia Sarawak,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Menamakan tugasan terkini SPA sebagai Ukit Blue susulan warna unik kostum tradisi komuniti itu yang jarang dilihat dalam kalangan kumpulan etnik lain, beliau berkata pameran tersebut juga penting terutama kepada mereka yang tidak pernah mendengar tentang suku kaum Ukit dan boleh disalah anggap sebagai kumpulan etnik lain di Sarawak.

“Saya berhasrat untuk melihat semua budaya dan tradisi setiap etnik akan dipulihara serta ilmu mengenai mereka akan diperturun kepada generasi berikutnya dalam bentuk foto,” katanya sambil mempelawa orang ramai ke pameran itu yang dilaksana dengan bantuan dana pemudah cara Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

Sementara itu, Ketua Seksyen Seni, Budaya dan Warisan kementerian berkenaan Dr Elena Chai berkata langkah mendokumentasikan budaya serta tradisi masyarakat Ukit melalui fotografi adalah antara cara yang baik untuk memperkenalkan mereka kepada orang ramai sama ada dari dalam atau luar Sarawak.

Beliau berkata keindahan Sarawak masih belum habis diteroka dan diperkenal kepada dunia luar.

“Budaya dan tradisi kumpulan etnik Sarawak perlu direkodkan sama ada dalam bentuk gambar atau video supaya boleh menjadi sumber rujukan demi kepentingan generasi muda,” katanya.

Sebanyak 30 gambar masyarakat Iban juga akan ditampilkan pada pameran itu dijangka dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada 27 Disember ini. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini