Oleh: Fahiz Ariff
KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan luar biasa dan menjadi pilihan nombor 1 di platform Tonton, Pontianak 100kg dibawa ke layar perak dengan sekuel terbaharu iaitu Pontianak 200kg.
Mengangkat tagline ‘Filem Komedi Paling Berat Abad Ini’, Pontianak 200kg bakal menghantui penonton di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei mulai 5 September.
Filem arahan sutradara terkenal, Shuhaimi Lua merupakan filem sulung terbitannya hasil kerjasama Primeworks Studios dan Metrowealth.
Oleh itu, Shuhaimi mengharapkan naskah yang bakal menghantui pawagam mulai esok itu laris dan pecah panggung.
“Timbul idea ni setelah kita fikirkan Pontianak 100kg meletup dalam tonton dan mendapat sambutan yang menggalakkan”
“Jadi, saya juga diarahkan pula untuk mencari idea yang baru, maka pelbagai idealah dikemukakan, lalu terhasil lah Pontianak 200kg”, katanya ketika ditemui media pada Majlis Tayangan Perdana Filem Pontianak 200kg di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Rafiq Razali, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Dan Primeworks Studio, Nini Yusof, Pengarah Urusan Metrowealth International Group, David Teo dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Sementara itu, bagi peneraju utama filem ini iaitu Aya Amiruddin yang memegang watak sebagai ‘Melati’ percaya telefilem ini menyajikan kisah yang unik kepada penonton dengan pontianak yang ‘comel’ diangkat sebagai watak utama.
“Sebenarnya, dari siri Pontianak Pontianak 100kg, maklum balasnya sangat-sangat baik, kami semua tak sangka cerita tu meletup sampai ke Indonesia. Jadi, ia sangat hebat”, katanya.
Manakala, gandingannya Dottie yang memegang watak sebagai ‘Mewangi’ berpandangan watak dilakonkannya adalah berbeza dengan stereotaip Pontianak terdahulu.
Jelasnya, dalam filem ini, Pontianak dilakonkan sebagai hantu yang hanya lapar dan suka mengusik orang kampung dengan mencuri makanan.
“Cabaran lakonkan watak ini itulah, masyarakat akan ingat Pontianak ni lepas kena paku je akan jadi model
“Tetapi dalam filem ini kita raikan kepelbagaian memandangkan benda (Pontianak) itu ghaibkan tak semua nampak dan kita buat semua ini untuk hiburan semata-mata”, kongsinya.
Selain Aya dan Dottie, filem Pontianak 200kg turut dibintangi Ropie, Ziana Zain, Niezam Zaidi, Wans Ahmad, Malia Baby, Apich Lo serta ramai lagi.
Juga, runut bunyi filem ini adalah ciptaan sepenuhnya Iqie Hugh, Shazriq Azeman, dan Omar K yang dinyanyikan oleh Shiha Zikir dan Aya Amiruddin.
Manakala, versi rock oleh Buck dan Awas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.