comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Politik kebencian semakin menebal – PM


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan persekitaran politik kebencian semakin menebal di negara ini sehingga fakta di sebalik keputusan kerajaan tidak pedulikan sama sekali.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, beliau tidak mengambil enteng kecaman dan fitnah termasuk serangan peribadi terhadapnya kerana setiap tindakan kerajaan adalah demi kepentingan rakyat.

“Lihat di media sosial pembangkang termasuk kempen (pilihan raya kecil) di Sungai Bakap, apa yang dia (pembangkang) tidak tulis. Dajjal, ejen Israel, Yahudi, jual negara ini kepada China… semua dia sebut. Saya tak peduli kerana saya fikir saya punyai tugas.

“Tidak mudah dalam negara ini kerana politik kebencian terlalu menebal, tak ambil gaji dihina, banteras rasuah dengan tegas pun dihina, baik dengan Hamas pun dihina, dengan Blackrock pun dia kata ejen Yahudi, fakta tidak dipedulikan sama sekali.

“Jadi yang diutarakan (pihak ini) ialah kebencian, apakah ini harus mengganggu kita? Tidak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyeru golongan muda untuk membantu mengangkat martabat negara kerana Malaysia mempunyai potensi yang tinggi.

“Saya mahu meneruskan khidmat untuk generasi penerus anak cucu kita lebih terjamin bahawa negara ini diangkat martabatnya dan saya mempunyai keyakinan yang sangat tinggi, Malaysia mempunyai potensi.

“Sebagai orang tua, saya hanya mampu menyeru saudara untuk melakukan sesuatu menentukan kita terangkat ke peringkat ini, itu sahaja,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini