comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis tunggu perkembangan terbaru penahanan 3 rakyat Malaysia, pelancong China di Filipina

Foto hiasan

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu perkembangan daripada pihak berkuasa Filipina berhubung penahanan pelancong warga China dan tiga warga Malaysia selepas mereka dikesan memasuki perairan negara itu secara haram, pada Ahad lalu.

Pelancong terbabit dikatakan sedang bercuti di Semporna, Sabah dan didakwa memancing di perairan negara sebelum bot dinaiki bersama warga Malaysia itu secara tidak sengaja memasuki perairan Filipina akibat cuaca buruk.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat terbaru berkaitan kes itu.

Katanya, PDRM menghormati tindakan diambil pihak berkuasa Filipina terhadap rakyat negara ini yang didapati memasuki wilayah negara itu secara haram.

“Setakat ini, belum ada maklumat lanjut yang kita terima daripada pihak berkuasa Filipina dan perkembangan terbaru seperti kenyataan dikeluarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini.

“Maklumat mengatakan mereka sudah dipindahkan di Manila juga belum diterima dan kita percaya apabila berlaku pergerakan, sudah tentu pihak berkuasa di sana masih melaksanakan siasatan lanjut.

“Apa yang saya boleh katakan, kita tunggu keputusan pihak berkuasa Filipina dan kita hormati keputusan diambil walaupun kita mencadangkan dan mengharapkan untuk membebaskan mereka, tetapi segala pelaksanaan undang-undang terletak sepenuhnya kepada Filipina,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Bil 68 Siri 3/2024 di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.

Ahad lalu, lapan warga China dan tiga warga Malaysia ditahan Pihak Berkuasa Maritim, Tentera Laut Filipina dan Tentera Darat Filipina di perairan Sitangkai, Tawi-Tawi, di selatan negara itu.

Tindakan itu selepas semua individu terbabit dikesan memasuki wilayah Filipina dengan menaiki dua bot laju tanpa dokumen sah.

Sementara itu, Jauteh berkata, beliau akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi menerangkan perihal indikator jenayah di Sabah dan Malaysia yang akan diperbaharui.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini