KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendapatkan laporan kesihatan pemandu wanita yang mengakibatkan kematian tiga pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Dungun, Terengganu, Rabu lalu bagi melengkapkan siasatan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata siasatan berkait kes itu dilakukan mengikut prosedur biasa sekalipun wanita terbabit didakwa mempunyai masalah mental.
Katanya, pelbagai peringkat siasatan dijalankan dalam kes itu termasuk mengambil keterangan daripada suami kepada wanita berkenaan dan saksi-saksi kejadian.
“Kes ini tetap disiasat seperti biasa termasuklah suspek ditahan dan direman.. tiada pengecualian.
“Polis juga akan mendapatkan laporan kesihatan wanita terbabit sebelum kertas siasatan dilengkapkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambah Mohd Yusri, pemandu terbabit seterusnya akan dituduh di mahkamah setelah selesai semua prosedur siasatan ini.
“Jadi sebarang tindakan lanjut sama ada akan diarah untuk rawatan psikiatri atau sebaliknya itu bergantung kepada keputusan mahkamah nanti,” katanya.
Dalam kejadian pada jam 7.35 petang, Rabu lalu, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV dipandu wanita terbabit merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar yang dalam perjalanan pulang ke kampus berkenaan.
Tiga mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25.
Manakala seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, parah selepas mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan kini dirawat di Hospital Dungun.
Ketika kejadian, kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke kampus universiti selepas selesai makan malam di sebuah kedai makan tidak jauh dari tempat kejadian.
Berikutan itu, pemandu SUV iaitu wanita berusia 49 tahun yang juga suri rumah itu telah direman empat hari bermula 10 Oktober untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam, Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong dilaporkan berkata pemandu wanita yang terbabit dalam kemalangan tidak pernah mendapat rawatan sakit mental di Fasiliti Kesihatan di negeri itu.
Katanya, pihaknya tidak mempunyai rekod berhubung kesihatan wanita berusia 49 tahun terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.