Tumpuan :
Nasional

Polis tunggu hasil laporan 6 ubat diambil dari kediaman Ridz Okumura

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan polis masih menyiasat sama ada Akiko mangsa pernah menerima rawatan di Malaysia atau negara asalnya, Jepun.

SUBANG JAYA: Polis mengesahkan masih menunggu laporan berkaitan enam jenis ubat yang diambil dari kediaman usahawan dan pempengaruh media sosial, Abd Ridzuan Abdul Mutalib atau Ridz Okumura untuk siasatan berhubung kematian isterinya, Akiko Okumura.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan berkaitan ubat itu masih dalam siasatan.

Ditanya sama ada, mangsa sebelum ini pernah mendapatkan apa-apa rawatan, Hussein berkata, perkara itu juga masih dalam siasatan pihaknya.

“Kes ini masih dalam siasatan dan sehingga kini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan polis mengambil enam jenis ubat dalam bentuk pil yang dipercayai berasal dari Jepun di kediaman usahawan dan pempengaruh media sosial itu susulan kematian isterinya.

Meskipun kes masih diklasifikasikan sebagai SDR, polis berkata siasatan dijalankan dengan melihat beberapa sudut termasuk melihat sama ada mangsa mempunyai masalah kemurungan atau kesihatan yang memerlukan ubat-ubatan.

Pada 5 Mac lalu, Hussein mengesahkan wanita warga Jepun berusia lingkungan 50-an yang sebelum ini dilaporkan maut akibat terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16 Subang Jaya pada 28 Februari lalu adalah Akiko.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini