Tumpuan :
Nasional

Polis tumpaskan sindiket penipuan pinjaman tidak wujud

MELAKA: 11 ahli sindiket penipuan pinjaman tidak wujud ditahan polis di sebuah rumah di Taman Cheng Perdana, di sini, semalam.

Kegiatan sindiket itu terbongkar susulan polis menerima aduan seorang remaja berusia 15 tahun mendakwa dipukul dan disamun sekumpulan lelaki disyaki terbabit kegiatan penipuan dalam talian.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, hasil siasatan lanjut Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Melaka Tengah membawa kepada maklumat pusat penipuan dalam talian.

“Sepasukan pegawai dan anggota JSJ IPD Melaka Tengah kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Taman Cheng Perdana pada jam 10.40 pagi semalam.

“Menerusi serbuan itu, polis berjaya menahan lapan lelaki dan tiga wanita berusia 18 hingga 22 tahun itu serta merampas barang kes disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan atas talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zainol, siasatan awal pihaknya mendapati sindiket terbabit bergiat aktif sejak setahun lalu di tempat lain dan mula menyewa rumah terbabit sejak sebulan lalu.

Katanya, semakan mendapati 12 laporan dibuat mangsa terhadap kegiatan sindiket ini membabitkan dua kes di Kedah, Melaka, Selangor dan Terengganu dan satu kes di Perak dan Perlis.

“Menerusi serbuan, polis turut merampas barang kes bernilai kira-kira RM17,000 berupa 31 telefon bimbit pelbagai jenama, sembilan kad bank dan sebuah buku nota tercatit skrip dipercayai digunakan untuk aktivti penipuan dalam talian.

“Hasil soal siasat awal terhadap semua tangkapan dan pemeriksaan telefon yang dirampas mendapati terdapat unsur-unsur aktiviti penipuan dalam talian dan pinjaman tidak wujud.

“Semua suspek tinggal di rumah berkenaan dengan bayaran sewa RM4,000 sebulan bagi menjalankan kegiatan jenayah itu,” katanya sambil memaklumkan tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil IPK Melaka untuk tindakan selanjutnya.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, semua suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Empat daripada suspek turut mempunyai rekod jenayah mengikut seksyen sama bersabit tangkapan di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

Loading...
Terkini