Tumpuan :
Nasional

Polis tolak permohonan penganjur perhimpunan di Istana Kehakiman

KUALA LUMPUR: Polis menolak permohonan penganjur himpunan solidariti Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya, pada Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed, berkata pihaknya menerima permohonan daripada penganjur pada 31 Disember lalu.

“Selepas semakan dilakukan, permohonan itu tidak lengkap dan pihak polis menolak kebenaran untuk tujuan himpunan.

“Pemakluman penolakan permohonan diberitahu kepada pihak penganjur semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga membuat persediaan kawalan keselamatan dengan kekuatan seramai 456 pegawai dan anggota polis.

Sebelum ini, media melaporkan, Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib

Razak untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Susulan itu, himpunan berkenaan dilakukan sebagai bentuk sokongan daripada ahli UMNO terhadap Najib yang juga bekas presiden parti itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini