JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak tanggapan akan berlaku serangan di beberapa lokasi lain di seluruh negara susulan serangan anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) di Ulu Tiram, awal pagi tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, serangan anggota JI di balai polis itu masih disiasat rapi, terutama motif serangan.
Bagaimanapun, Razarudin berkata, semua anggota termasuk di balai polis sudah diarahkan berhati-hati dan meningkatkan kawalan dan pemantauan.
“Kita sedang siasat dengan rapi serangan (Balai Polis Ulu Tiram) termasuk motifnya.
“Not nice (tidak baik) untuk buat anggapan sebegitu (akan berlaku serangan lain), sedangkan siasatan sedang dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di perkarangan Balai Polis Ulu Tiram, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, polis akan melihat semula keperluan, sekali gus meningkatkan fasiliti termasuk pencahayaan di sekeliling balai sebagai langkah berjaga-jaga.
Katanya, pencahayaan di belakang Balai Polis Ulu Tiram agak gelap ketika insiden serangan berlaku, malah tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi serangan.
“Bagaimanapun, kebajikan dan keperluan anggota kita akan uruskan dengan baik termasuk keluarga mangsa.
“Saya ucapkan takziah kepada keluarga dua anggota yang terkorban dalam serangan awal pagi tadi.
“Saya juga minta anggota yang lain supaya sentiasa berhati-hati dan tingkatkan tahap waspada sepanjang masa,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Lelaki bertopeng serang Balai Polis Ulu Tiram
- 2 anggota Balai Polis Ulu Tiram terbunuh, penyerang mati ditembak
- Lebih 50 anggota polis kawal ketat Balai Polis Ulu Tiram
- Suspek serang, bunuh 2 anggota di Balai Polis Ulu Tiram, sah ahli JI – KPN
- Suspek serang balai polis sudah buat persediaan awal – KPN