Tumpuan :
Nasional

Polis tingkat pemantauan kesan kegiatan penyalahgunaan dadah di konsert

Hussein ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

SHAH ALAM: Polis akan meningkatkan pemantauan dan risikan bagi mengesan individu yang terlibat dalam pengedaran, penjualan, atau penggunaan dadah di konsert dan pusat hiburan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya akan menempatkan pasukan narkotik di konsert bagi membendung penyalahgunaan dadah susulan kematian pengunjung pada konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang, Disember lalu.

“Kami sentiasa menjalankan pemantauan berterusan, bukan sahaja di konsert atau pusat hiburan yang sedia ada, tetapi juga di pelbagai lokasi lain. Walaupun kejadian seperti ini berlaku sekali-sekala di konsert, ia bukanlah perkara yang berlaku setiap hari.

“Namun, kita akan tingkatkan pemantauan dan juga risikan kita dengan melibatkan pasukan-pasukan ini untuk mengesan mereka yang mengedar, menjual ataupun menggunakan dadah ini dalam konsert.

“Sebelum ini, pasukan Narkotik telah ditempatkan di konsert-konsert ini, namun tidak dilakukan hebahan dan terdapat tangkapan serta saringan dilakukan. Kejadian terbaru yang melibatkan kematian pengunjung telah menarik perhatian orang ramai.

“Pihak polis terus menjalankan pemantauan dan bertekad untuk menggandakan usaha tersebut,” katanya pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Menurut Hussein, pihaknya juga akan bekerjasama dengan penganjur konsert untuk memperketatkan kawalan dan memastikan mereka yang memasuki kawasan konsert mematuhi prosedur yang ditetapkan, termasuk memantau penyalahgunaan dadah di lokasi.

“Kita juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengendali konsert dalam masa terdekat,” ujarnya.

Sementara itu, Hussein berkata dua daripada tiga lelaki yang ditahan baru-baru ini, dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Masing-masing dituduh pada 7 Januari dan 9 Januari, di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan telah diberikan jaminan oleh mahkamah. Manakala, individu ketiga yang ditahan tidak dikenakan sebarang tuduhan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini