Tumpuan :
Nasional

Polis tidak terima laporan kes pelajar asing ludah Jalur Gemilang

Rakaman video yang tular. Foto tular

KUALA LUMPUR: Polis tidak menerima laporan susulan tindakan individu warga Bangladesh meludah bendera Malaysia dan menyifatkan universiti tempatan di negara ini sebagai ‘Mini Dhaka’.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, semakan setakat ini tidak dapat mengenal pasti lokasi kejadian itu berlaku.

Menurutnya, carian turut dibuat dan menemui laporan artikel yang mengatakan individu warga Bangladesh di dalam video itu adalah seorang pelajar yang sedang belajar di China.

“Malah setakat semalam belum ada laporan polis diterima susulan tular video tindakan individu terbabit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan tindakan individu warga Bangladesh meludah bendera Malaysia dan menyifatkan universiti tempatan di negara ini sebagai ‘Mini Dhaka’ adalah perbuatan biadap yang perlu diambil tindakan.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain dilaporkan berkata, perbuatan itu dilihat seperti mahu melakukan provokasi terhadap rakyat negara ini.

“Di negara ini, ada ramai warga asing sama ada yang mempunyai dokumen atau pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk dari Bangladesh.

“Apa yang berlaku ini mungkin disebabkan tindak balas daripada mereka (warga asing) yang tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa kerana diambil tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video memaparkan individu warga Bangladesh meludah bendera Malaysia serta laporan berita melaporkan individu sama menyamakan universiti di negara ini seperti Mini Dhaka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini