
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima sebarang laporan berhubung aktiviti lanun Indonesia di Pantai Remis, Manjung, Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada orang awam berkaitan insiden ancaman di lokasi terbabit seperti didakwa dalam beberapa laporan media, Rabu lalu.
“Tiada laporan rasmi diterima (tentang aktiviti lanun di Pantai Remis),” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.
Ditanya tentang dakwaan insiden pekerja asing ditembak mati atas bot nelayan oleh kumpulan lanun bersenjata, Noor Hisam menjelaskan, suspek masih belum dikenal pasti dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut.
“Kejadian pekerja asing ditembak mati yang berlaku pada 23 Januari 2024 membabitkan mangsa seorang lelaki warga Thailand.
“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan kerana suspek tidak dapat dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Remis, Wong May Ing dilaporkan berkata, nelayan di Pantai Remis berdepan ancaman lanun dari Indonesia yang didakwa semakin berleluasa kebelakangan ini.
Khamis lalu, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dipetik berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan insiden ancaman di perairan berkenaan.
“Sebaliknya, kejadian dilaporkan itu adalah kes pemerasan oleh pihak tidak bertanggungjawab dari negara jiran terhadap Vesel Nelayan Tempatan (VNT) di ‘kawasan kelabu’ di perairan Selat Melaka,” katanya.
Mohd Rosli berkata, keselamatan perairan Selat Melaka berada dalam keadaan terkawal hasil rondaan dan operasi penguatkuasaan berterusan, selain kerjasama serantau yang kukuh dengan negara jiran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.