KEMAMAN: Polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian 10 mangsa dibawa arus kepala air di Jeram Mawar, Air Putih dekat sini pada jam 12.30 tengah hari semalam.
Ia dipercayai susulan penemuan dua mayat mangsa oleh orang awam yang kemudian segera melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
Identiti mangsa iaitu Azizah Eiyi, 40 tahun dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11 tahun dikenal pasti selepas pengecaman dilakukan ahli keluarga di Bilik Forensik Hospital Kemaman, malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kemanan Supt Hanyan Ramlan keluarga berkenaan berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan dan telah datang ke jeram berkenaan sejak 2 petang kelmarin (Sabtu) untuk berkelah.
Tambahnya, mayat Azizah ditemukan terapung oleh orang ramai, dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer (km) dari tempat kejadian, manakala Muhammad Zulqarnain Haikal tersangkut pada dahan pokok kira-kira 2km dari tempat kejadian.
Katanya lagi, air naik antara lima hingga sepuluh meter ketika kejadian.
Polis juga tidak menolak kemungkinan ketua kepada keluarga berkenaan, Karim Abdullah mahir dengan selok belok kawasan berkenaan sehingga mampu untuk masuk ke kawasan itu dengan menggunakan kenderaan biasa.
Tinjauan mendapati terdapat sekurang-kurangnya sebuah kereta dan sebuah motosikal di tempat kejadian.
Kedua-dua kenderaan itu turut didapati telah di penuhi pasir dan sampah sarap.
Sekurang-kurangnya lima pasang selipar dipercayai milik mangsa turut dijumpai.