
IPOH: Polis menerima sekurang-kurangnya enam laporan berhubung kes penipuan penganjuran kejohanan bola sepak yang dijadualkan berlangsung di Padang Taman Dr Seenivasagam, di sini semalam seperti yang tular di media sosial.
Pertandingan bolasepak dinamakan sebagai ‘Karnival Bolasepak 11 Sebelah U14 & U16 ASM Cup & Big Pos Cup 2025’ itu disertai sebanyak 32 pasukan bola sepak dari seluruh negara serta Indonesia.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, laporan pertama diterima semalam daripada seorang wanita tempatan berusia 39 tahun dari Kuala Lumpur yang mendakwa ditipu berhubung penjanjuran karnival pertandingan itu.
Kata Mohamad Sajidan, wanita yang bekerja sebagai kerani itu mewakili pasukan pemain dari kumpulan Highlander FC U14 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, di sini.
Katanya, mangsa berminat memasuki karnival pertandingan itu dan sudah membuat dua kali pembayaran keseluruhannya berjumlah RM400 secara dalam talian ke dua akaun bank berbeza.
“Pada 7 pagi hari sama apabila sampai di lokasi pertandingan, pengadu mendapati tiada khemah penganjur disediakan di lokasi itu. Pengadu cuba menghubungi penganjur untuk pengesahan namun tidak berjaya dan mengesyaki sudah ditipu penganjur.
“Pihak polis juga menerima lima lagi laporan polis yang membabitkan penganjuran majlis yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan membuat pengesahan dari pihak-pihak berkaitan sebelum membuat sebarang pembayaran dalam talian.
Terdahulu, tular di laman sosial berkaitan 32 pasukan bolasepak termasuk dari Indonesia mendakwa ditipu penganjur pertandingan bola sepak di Padang Taman Dr Seenivasagam, yang dijadualkan berlangsung semalam (Sabtu).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.