KUALA LUMPUR: Polis menerima lima laporan berhubung dakwaan menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan yang dikendalikan pempengaruh dan usahawan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima laporan berhubung perkara itu namun dijadikan laporan luar kawasan.
“Semakan dibuat mendapati ada lima laporan polis dibuat (berhubung dakwaan penipuan itu),” katanya hari ini.
Semalam media melaporkan, Seramai 10 individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan yang dikendalikan pempengaruh dan usahawan membuat laporan polis, malam tadi.
Mereka mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan oleh pempengaruh itu yang menawarkan pakej selama lima hari dengan harga kira-kira RM4,000.
Terdahulu, tular di laman sosial video luahan seorang individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pempengaruh berkenaan dan perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata bersimpati serta meminta mangsa membuat laporan polis.
Semalam, pempengaruh itu melalui Instagram (IG) Story memohon maaf dan memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan bayaran kepada pelanggan terkesan daripada trip pakej pelancongan tertunda sebelum atau pada 1 Februari tahun depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.