comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis terima 20 laporan video titah Sultan Perak disunting bagi tujuan politik kepartian

IPOH: Polis Perak menerima 20 laporan berhubung video tular mengenai sebahagian kecil titah diraja oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang disunting hingga dilihat mengaitkan dan mengheret kedudukan baginda bagi tujuan politik kepartian, menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Katanya, laporan diterima sejak semalam, iaitu selepas laporan pertama mengenainya dibuat di Balai Polis Travers, Brickfields, Kuala Lumpur dan siasatan mengenainya diserahkan kepada Bukit Aman.

“Setakat tengah hari ini, Polis Perak menerima sebanyak 20 laporan berkaitan video berkenaan sejak semalam.

“Siasatan mengenainya kita serah berdasarkan laporan pertama yang dibuat di Balai Polis di Brickfields, dan sudah diambil (siasatan) oleh pihak Bukit Aman,” katanya pada sidang media kejayaan rampasan lebih RM2.5 juta syabu di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Menerusi video itu, seseorang dipercayai wanita yang juga pemimpin Muslimat PAS Melaka cuba mengetengahkan pandangan Sultan Nazrin terhadap PAS dalam klip video berkenaan.

Dalam pada itu, Pejabat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Perak turut membuat laporan polis berhubung video yang ditularkan.

Dewan Negara Perak menerusi kenyataan ditandatangani Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Datuk Seri Diraja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin, berkata pihak yang memetik dan menularkan semula titah Sultan Nazrin pada 2013 itu adalah dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Video berkenaan memuat naik sebahagian kecil titah Sultan Nazrin yang dizahirkan pada 19 Februari 2013 ketika baginda memangku sebagai Raja Perak bertitah di Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertemakan ‘Perpaduan Ummah: Harapan, Realiti dan Cabaran’.

Loading...
Terkini