comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis terima 12 laporan kes buli di sebuah sekolah berasrama

Datuk Rusdi Mohd Isa ditemui media di Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis menerima 12 laporan berhubung kes buli di sebuah sekolah berasrama, di sini, yang turut membabitkan anak kepada penyanyi kumpulan Spider, Tam dan pelakon, Khir Rahman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sebahagian laporan dibuat oleh pelajar yang menjadi mangsa buli dan sebahagiannya adalah daripada ibu bapa kepada mangsa lain.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa terdiri daripada pelajar berusia antara 14 hingga 16 tahun dan pembuli terdiri daripada pelajar berusia 17 tahun.

Katanya, sebanyak tiga kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Dua kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan ia dikembalikan semula untuk dikemas kini.

“Manakala satu lagi kertas siasatan belum lengkap dalam proses siasatan kerana pelajar terbabit sedang menjalani ujian percubaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

“Pihak sekolah minta tangguh proses siasatan dan kita pun tak nak mengganggu (peperiksaan) mereka,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, hari ini.

Kes buli terbabit didedahkan Tam atau nama sebenar Rustam Mustafah yang mendakwa anak lelakinya berusia 14 tahun menjadi mangsa buli.

Media melaporkan, selain Tam beberapa ibu bapa lain termasuk Khir turut tampil mendedahkan perkara sama dan mendesak pihak sekolah mengambil tindakan terhadap enam pembuli.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, siasatan turut mendapati terdapat pembabitan seorang warden asrama dalam kes buli berkenaan dan polis sudah merakam keterangan individu terbabit.

Katanya, pihaknya akan mengambil keterangan enam pelajar yang didakwa membuli mangsa pula pada 13 dan 14 Oktober ini.

“Berdasarkan laporan, ada mangsa ini mengalami kecederaan di telinga, lebam di tangan dan kaki. Tiada senjata digunakan dalam kejadian buli itu, hanya menggunakan tangan dan kaki.

“Bagaimanapun, polis mengambil berat mengenai kes buli ini yang tidak boleh dibiarkan berpanjangan. Banyak insiden yang berlaku dan sudah ada pelajar yang dituduh di mahkamah walaupun menggunakan tangan dan kaki tetapi boleh menyebabkan kecederaan pelajar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini