RANTAU PANJANG: Sebanyak 107 panggilan palsu berkaitan banjir diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata perbuatan itu menyebabkan selepas petugas diatur gerak ke kawasan yang dilaporkan, pihaknya mendapati tiada kediaman di lokasi berkenaan.
“Kita menerima macam-macam panggilan menyatakan ada yang terperangkap banjir tetapi sebaik saja pasukan tiba di lokasi terbabit, rumah pun tiada dan ia didapati merupakan panggilan palsu.
“Perbuatan sebegitu sangat mendukacitakan kita kerana untuk sampai ke satu-satu lokasi bukanlah senang, sebaliknya pasukan perlu meredah arus deras.
“Justeru, saya mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan dalam keadaan yang agak meruncing kini,” katanya pada sidang media selepas meninjau kawasan banjir, di sini, hari ini.
Beliau menyifatkan perbuatan oleh individu tidak bertanggungjawab itu sebagai ‘amat malang’ sekali sehingga menyusahkan pihak berkuasa dalam menjalankan operasi menyelamat.
“Justeru mulai hari ini, kita membuat tapisan terhadap setiap panggilan yang diterima sebelum mengatur gerak petugas ke lokasi dilaporkan,” katanya.