comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis Terengganu siap siaga hadapi Monsun Timur Laut (MTL)

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu berada dalam keadaan siap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Ketua Polis Negeri, Mohd Khairi Khairudin berkata, seramai 2210 anggota dari pelbagai agensi membabitkan 130 pegawai dan selebihnya anggota akan diatur gerakkan ke lokasi-lokasi berpotensi banjir dan dikerah bagi urusan menyelamat dan aktif bertugas sepanjang tempoh bencana.

“Kami telah selesai Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Terengganu, dan pihak kami telah menggerakkan susun atur penugasan dari segi kekuatan anggota serta aset di semua daerah yang dijangka mengalami banjir”, katanya.

Sementara itu kawasan-kawasan yang kerap berlaku kepala air turut akan dipantau.

“Saya telah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah bersedia berurusan dengan PBT dan menutup kawasan berisiko berlaku kepala air dari dikunjungi orang ramai sepanjang MTL”,ujarnya,

Pihaknya turut memberi amaran kepada pihak tertentu agar tidak mencetuskan panik dan kegusaran dalam masyarakat dengan menularkan maklumat tidak tepat bersabit bencana banjir di media sosial.

Beliau turut memberi peringatan kepada penduduk yang tinggal di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi amaran pihak berkuasa sekiranya diarah berpindah jika berlaku banjir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik Kontinjen Terengganu di Perkarangan IPK Terengganu, pagi tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini