
SIBU: Polis mengesahkan penemuan 83 serpihan tulang dipercayai manusia di sebuah longkang di Jalan Bukit Assek, Sibu, Sarawak.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, serpihan ditemukan pakar forensik di lokasi penemuan tengkorak manusia oleh pekerja pembersihan pada Isnin lalu.
Serpihan tulang dijumpai dalam operasi polis selama lapan jam di lokasi berkenaan, semalam.
Antara yang dijumpai ialah rangka kaki, tangan, kepala dan badan, setelah air longkang disedut kira-kira jam 10 pagi.

Sampel DNA tulang berkenaan akan dihantar ke Unit Forensik Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut.
Isnin lalu, pekerja Majlis Perbandaran Sibu menemukan tengkorak manusia ketika melakukan kerja pembersihan parit di Jalan Bukit Assek.
Setakat ini, belum ada sebarang petunjuk dilaporkan berkaitan tengkorak dan serpihan tulang manusia berkenaan.
Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut dan polis masih menjalankan siasatan.