comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis temui Ummul Ayuni Atiqah di rumah rakan di Seremban

KUANTAN: Seorang remaja perempuan dari Maran, Pahang yang dilaporkan hilang sejak 9 November lalu, ditemukan selamat, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Maran Superintendan Wong Kim Wai berkata, Ummul Ayuni Atiqah Mohd Khamis, 15, ditemukan di sebuah rumah rakannya di Seremban, Negeri Sembilan.

Katanya, berdasarkan siasatan, remaja itu keluar dari rumah di Kampung Paya Chedong, Maran mengikut rakannya ke Kuala Lumpur dan tinggal selama beberapa hari sebelum ke Seremban.

“Hasil maklumat, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Maran berjaya mengesan sebelum membawa pulang remaja ini dan tiba di Maran pada jam 3.30 pagi, semalam.

“Menurut kenyataan keluarga, sebelum ini remaja ini pernah dua kali cuba keluar dari rumah tetapi gagal. Ini adalah percubaan ketiga dan hilang selama lima hari sebelum polis berjaya mengesannya.

“Dia selamat dan sudah pulang ke pangkuan keluarganya. Kita percaya dia melarikan diri selepas terpengaruh dengan rakan,” katanya.

Kim Wai ditemui media pada majlis perasmian Gimnasium Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang yang disempurnakan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman di Kompleks PDRM Alor Akar, di sini hari ini.

Sementara itu, Wong berkata polis akan menyoal siasat rakan Ummul Ayuni untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini