KULIM: Polis Kedah menempatkan seramai 500 pegawai dan anggotanya bagi mengawal keselamatan dan melancarkan perjalanan sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Parlimen Padang Serai.
Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata jumlah itu turut membabitkan unit Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) untuk memantau aktiviti berkempen dan ceramah sehinggalah hari pengundian pada 7 Disember depan.
“Bagaimanapun jumlah anggota akan ditambah pada hari pengundian untuk ditempatkan di pusat mengundi. Kita akan tempatkan tiga kumpulan PSP di sini untuk buat kawalan keselamatan bersama juga dengan anggota lain untuk memantau ceramah (termasuk) pasukan cantas daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan sebagainya.
“Untuk di hari mengundi nanti kita jangkakan dalam lingkungan 1,200 orang (anggota) semua sekali kerana kita tengok sini salurannya besar dan pengundinya agak ramai dengan kapasiti kaum terbesar India, Melayu dan Cina seramai 133,000 orang, jadi kita minta supaya di sini kita dapatkan anggota, “katanya ketika ditemui ketika meninjau anggota bertugas di Parlimen Padang Serai, di sini, hari ini.
Sementara itu Wan Hassan mengingatkan orang ramai serta parti politik yang bertanding supaya tidak melakukan provokasi selain memahami sensitiviti setempat ketika tempoh berkempen.
Katanya, mereka juga dinasihatkan untuk mematuhi arahan, peraturan dan larangan yang ditetapkan pihak berkuasa.
Beliau berkata, sekiranya ada yang dikesan melakukan kesalahan mereka akan berdepan dengan tindakan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) termasuk kesalahan pemalsuan nama atau kertas undi, mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan di bawah Seksyen 3, 4 dan 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya.
“Kita ada juga pasukan cantas daripada IPK dan juga bantuan daripada Bukit Aman, (selain itu) kita ada juga pasukan perakam untuk membuat rakaman tertentu dan sebagainya.
Tindakan kita agak tegas dan kita memberi amaran kepada mana-mana pihak tertentu yang terbabit dalam proses demokrasi ini mana-mana parti dan sebagainya supaya mengawal penceramah-penceramah agar tidak mendatangkan kegusaran atau pun ketidakpuasan hati mana-mana pihak yang lain.
“Kita nak proses pilihan raya ini berjalan dalam keadaan aman tenteram damai dan sebagainya tidak ada elemen kutuk mengutuk keji mengeji antara satu sama lain kerana itu tentunya boleh membawa kepada masalah-masalah lain,” tegas beliau.
Pengundian Parlimen Padang Serai, ditangguhkan sebelum ini berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH), M. Karupaiya, 69, yang meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan pada 16 November lalu.- HARIAN METRO