KUALA LUMPUR: Polis telah merakam keterangan pelawak dan pelakon Harith Iskander berhubung hantaran di akaun Facebooknya mengenai isu ‘ham’ yang didakwa menghina agama Islam kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya turut mengenal pasti identiti seorang lagi individu dikenali sebagai ‘Cecelia Yap Song’ dipercayai mempunyai kaitan dalam kes itu.
Menurutnya, pihaknya masih dalam proses mengesan individu terbabit.
“Setakat ini satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini polis menerima 16 laporan polis berkaitan isu itu di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Selasa lalu, Harith Iskander, 54, didakwa memuat naik hantaran yang didakwa membuka ruang mempersendakan agama Islam apabila seorang pengguna media sosial turut meninggalkan komen pada hantaran itu yang dipercayai mengaitkan ‘ham’ dengan nama Nabi Muhammad SAW.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.