Tumpuan :
Nasional

Polis telah ambil keterangan Cecelia Yap – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.-

KUALA LUMPUR: Polis telah merakam percakapan pemilik akaun Facebook Cecelia Yap Song KL hari ini bagi membantu siasatan berhubung hantarannya di akaun Facebook Harith Iskander mengenai isu ‘ham’ yang didakwa menghina agama Islam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses rakaman percakapan wanita berusia 65 tahun itu yang juga pesara jururawat swasta bermula jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Menurutnya, sebanyak 21 soalan ditanya kepada suspek di mana dia mengaku memuat naik komen di ruangan Facebook terbabit.

“Sebuah telefon bimbit dan kad sim turut dirampas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505 (c) KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Peguam Negara (AGC) esok untuk arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Terdahulu, Cecelia yang didakwa menimbulkan kontroversi berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam berkaitan isu ‘ham’ baru-baru ini tampil memohon maaf.

Cecelia Yap menerusi kenyataan dikeluarkan firma guaman mewakilinya Saibullah MV Nathan dan Co berkata, dia amat kesal atas kenyataan sensitif disiarkan di dalam media sosial.

Selasa lalu, Harith Iskander, 54, didakwa memuat naik hantaran yang membuka ruang mempersendakan agama Islam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini