Oleh Hilmi Abdul Malik
SHAH ALAM: Polis akan menangguhkan sebarang permohonan permit bagi penganjuran konsert seumpama dengan Pinkfish secara serta-merta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, langkah itu diambil sehingga pihak polis berpuas hati dengan jaminan diberikan daripada pihak penganjur.
“Pada masa akan datang, pihak penganjur konsert perlu memberi keyakinan agar mereka boleh kawal sebarang kemasukan dadah dalam konsert. Sekiranya elemen ini gagal, kita tak boleh benarkan sebarang konsert diadakan yang menyebabkan ia berakhir dengan kematian.
“Buat masa ini, polis menahan atau menangguhkan sebarang kelulusan permit untuk anjurkan konsert seperti ini (Pinkfish) sehingga kita dapat kepastian penganjur untuk kawal perkara-perkara tersebut,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Menurutnya lagi, polis juga akan melihat kepada beberapa aspek sebelum memberikan kebenaran termasuk kapasiti kehadiran mengikut keluasan tempat, ruang pengudaraa, dan bahan-bahan terlarang.
Tegasnya, pihak penganjur perlu bertanggungjawab terhadap garis panduan yang telah dikemukakan sebelum ini apatah lagi konsert yang melibatkan bilangan kehadiran yang ramai.
Konsert Pinkfish di Bandar Sunway yang dihadiri 14,000 pengunjung itu dikejutkan dengan kematian empat individu selepas dipercayai mengambil pil ekstasi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.