TANJUNG MALIM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangguhkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi anggota tentera yang hilang dihanyutkan arus deras susulan kepala air sewaktu menyeberangi Sungai Merah di Hutan Royal Belum di Gerik sejak 29 November lalu.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, operasi ditangguhkan polis selepas pencarian yang memasuki hari ke-10 hari ini tidak menemukan petunjuk.
Meskipun SAR dikendalikan polis ditangguhkan, beliau berkata operasi pencarian dijalankan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih berterusan.
“Sudah lebih kurang 10 hari (sejak SAR polis), jadi untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) kita sudah ‘stand down’ (operasi dihentikan).
“Namun saya difahamkan oleh Ketua Polis Daerah Gerik bahawa pihak tentera (ATM), memandangkan kejadian berlaku dekat kawasan operasi pihak tentera, maka mereka masih juga meneruskan pemantauan.
“Kalau ada maklumat lanjut nanti, kita akan berikan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan usaha SAR Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi yang berusia lingkungan 20-an dibuat meliputi kawasan sekitar kejadian oleh polis serta ATM.
Dalam kejadian kepala air itu, seorang anggota tentera, Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin juga berusia 20-an disahkan lemas, manakala Ahmad Zulhilmi hilang selepas dihanyutkan arus deras semasa menyeberangi Sungai Merah di Hutan Royal Belum.
Kejadian sekitar jam 6 petang 29 November lalu itu berlaku semasa dua anggota tentera lelaki berkenaan bersama tujuh anggota tentera yang lain menjalankan tugas gerakan operasi Kota Echo/Foxtrot di kawasan Hutan Royal Belum.
Tujuh anggota tentera lain bagaimanapun terselamat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.