MUAR: Seorang penganggur warga emas ditahan selepas polis menemui syabu dan heroin seberat lebih dua kilogram di rumahnya di Sungai Abong, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata, suspek yang memiliki rekod lampau berkaitan dadah turut dikesan positif dadah selepas ujian urin dilakukan.
“Hasil pemeriksaan di rumah suspek, polis menemui bekas dan botol plastik mengandungi heroin seberat 1.1 kilogram.
“Selain itu, polis turut menemui tiga paket lutsinar disyaki syabu seberat 1.23 kilogram dengan semua dadah itu dianggarkan bernilai RM67,665,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, suspek yang berusia 61 tahun itu direman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 15 (1) (a) akta sama kerana air kencing positif dadah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.