comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis tahan teman lelaki Bella

Kehilangan ibu tunggal, Mila Sharmila atau Bella sejak hampir dua minggu lalu masih menimbulkan misteri.

BATU PAHAT: Teman lelaki kepada ibu tunggal, Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wanita itu sejak 14 Disember lalu.

Penahanan suspek berusia 24 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kurier itu dipercayai mampu merungkai misteri kehilangan wanita berkenaan selepas keluar dari rumahnya di Taman Soga, pada jam 11.50 malam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, mengesahkan perkara itu.

“Ya, saya mengesahkan kita menahan lelaki berkenaan pada 25 Disember lalu dan suspek masih direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat,” katanya.

Ismail berkata, suspek direman sehingga 30 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana culik.

Kelmarin, Ismail dilaporkan berkata, pihaknya sudah memanggil lima individu untuk merekodkan keterangan berhubung kehilangan Bella.

Kehilangan Bella sejak hampir dua minggu lalu masih menimbulkan misteri meskipun pelbagai usaha dijalankan termasuk bantuan pihak polis bagi mengesan kedudukannya.

Ibu kepada seorang anak lelaki berusia empat tahun itu dilaporkan keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada jam 11.50 malam pada 14 Disember lalu dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap, untuk mencuci pakaian di kedai dobi.

Bagaimanapun, selepas tarikh itu dan sehingga kini, kelibat wanita terbabit terus hilang dengan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi, selain mesej dihantar menerusi aplikasi WhatsApp hanya menunjukkan satu tanda.

Paling mengejutkan, pakaian yang diletakkan dalam bakul yang sepatutnya mahu dicuci di kedai dobi itu, ditemui dalam rumah Bella pada keesokan hari, selepas dia dilaporkan hilang.

Kehilangan Bella menyebabkan ahli keluarganya membuat dua laporan polis, masing-masing pada 16 dan 18 Disember lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini