Tumpuan :
Nasional

Polis tahan suspek dera anak teman wanita

Foto hiasan

KUALA SELANGOR: Selepas hampir 24 jam diburu, suspek kes penderaan ke atas anak perempuan teman wanitanya di sini, berjaya ditahan polis semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, suspek berusia 26 tahun ditahan di sebuah rumah dekat Sik, Kedah, jam 4.30 petang.

“Tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik dan Kuala Selangor.

“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ambia berkata, suspek kemudian dibawa ke IPD Kuala Selangor dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Pada masa sama, beliau memaklumkan permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Selangor, pagi ini.

Kelmarin, media melaporkan polis menahan seorang wanita berusia 32 tahun bagi membantu siasatan kes penderaan anak perempuannya.

Mohd Ambia dilaporkan berkata, suspek dan bekas suaminya bercerai pada 2020 dan mangsa berusia lima tahun berada di bawah jagaannya.

Wanita terbabit kini direman selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini