comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis tahan suami isteri, halang anak memasuki rumah 

JOHOR BAHRU: Polis menahan suami isteri selepas disyaki menghalang anak lelaki mereka yang berusia 13 tahun daripada memasuki rumah sehingga terpaksa tidur di kaki lima flat di Pasir Gudang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak memaklumkan pasangan itu yang berusia 54 dan 56 tahun ditahan jam 10.30 malam kerana didapati mengabaikan remaja itu sejak 7 Julai lalu.

“Polis yang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu bertindak menyelamatkan remaja itu semalam, selepas mengesan video tular berhubung perkara itu.

“Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah lampau, namun ujian saringan awal air kencing kedua-dua mereka negatif dadah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, suami isteri warga tempatan itu ditahan reman selama lima hari bermula hari ini.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa keping gambar memaparkan seorang remaja lelaki dibiarkan tidur di kaki lima sebuah flat perumahan yang dimuat naik pengendali akaun Facebook ‘Group Komuniti Taman Air Biru’.

Bagaimanapun, hantaran itu dipercayai sudah dipadam dan tidak boleh diakses.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini