comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis tahan seorang wanita bantu siasatan kehilangan Sabari

Foto fail NSTP

SUNGAI PETANI: Polis mengesahkan penahanan seorang wanita warga emas berusia 62 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan seorang pesara, Sabari Baharom, 62, pada 3 September lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, polis akan mengeluarkan kenyataan jika terdapat perkembangan baharu dalam siasatan dan meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi.

“Siasatan masih dilakukan dan jangan buat sebarang spekulasi kononnya polis tidak melakukan tindakan dan sebagainya.

“Kita ada menahan seorang wanita berusia 62 tahun…kita akan beritahu perkembangan selanjutnya…kita tak nak diviralkan polis tak ambil tindakan sedangkan tindakan sewajarnya telah diambil,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kehilangan bekas pegawai kewangan di sebuah agensi kerajaan sejak 3 Sept lalu selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Baling menaiki kereta jenis Proton Waja.

Kehilangan Sabari disedari anggota keluarganya selepas telefon bimbit miliknya gagal dihubungi selain terdapat beberapa transaksi pengeluaran wang dalam akaun bank milik lelaki itu yang dikesan dibuat oleh seorang individu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Kenderaan dinaiki Sabari ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik, namun kelibat pesara itu tidak kelihatan.

Anak sulung Sabari, Suraiya Izzaty Sabari, 29, berkata, dia telah dimaklumkan oleh pihak polis semalam berhubung tangkapan itu.

“Saya rasa lega apabila menerima berita tersebut…walaupun ayah belum dapat dijejaki namun saya yakin polis akan menjalankan siasatan dengan teliti.

“Kami tidak mengenali individu yang ditahan itu dan dia juga bukan dalam kalangan kenalan ayah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Suraiya Izzaty memaklumkan ayahnya sangat rapat dengan anak-anak dan saban hari berhubung menerusi telefon walaupun hanya dengan panggilan singkat.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini