JOHOR BAHRU: Seramai 13 individu terdiri 12 wanita Thailand dan seorang lelaki tempatan ditahan dalam operasi Op Noda yang dilakukan polis terhadap di sebuah pusat hiburan dekat Taman Mount Austin di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Polis Johor Bahru Selatan bermula jam 8 malam semalam sehingga 2 pagi.
“Seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun disyaki penjaga premis ditahan bersama 12 wanita Thailand berusia di antara 22 hingga 38 tahun, dipercayai bekerja sebagai pelayan tanpa permit sah.
“Dalam operasi ini pelbagai barangan dirampas sebagai bahan bukti termasuk sebuah buku catatan, tiga keping resit perniagaan, satu unit komputer riba, satu alat pengawal cahaya ‘move light’, satu mikrofon, dan lima utas gelang tangan berlampu.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek bebas daripada pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Raub berkata, lelaki tempatan yang ditahan itu, direman selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Januari ini.
“Manakala 12 wanita warga asing direman 14 hari mengikut Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.
“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing tanpa permit, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas atau visa dan Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor kerana menjalankan pusat hiburan tanpa lesen.
“Polis akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, khususnya membabitkan penggajian pekerja asing tanpa permit dan penyalahgunaan pusat hiburan tanpa lesen,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.