KULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang pemandu lori yang bertindak melarikan diri selepas lori yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal hingga menyebabkan penunggang motosikal maut di jalan Senai-Seelong, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, ACP Tan Seng Lee berkata, kemalangan berlaku jam 8.10 pagi semalam membabitkan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR dengan sebuah lori jenis Hino.
Katanya, bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima maklumat kejadian berkenaan di Jalan Senai-Seelong menghala ke Senai di sini pada pukul 8.10 pagi.
“Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang lelaki berusia 21 tahun itu cuba mengelak lori dipandu lelaki berusia 44 tahun yang sedang membelok ke kanan.
“Situasi itu menyebabkan penunggang motosikal telah hilang kawalan dan melanggar batu pembahagi jalan di kiri jalan,” katanya menerusi kenyataan media.
ACP Seng Lee berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, selepas kejadian, pemandu lori bertindak melarikan diri dari lokasi kemalangan.
“Kita berjaya mengesan pemandu lori yang terbabit dan telah menahannya jam 7.12 petang semalam. Kini suspek dalam tahanan reman selama dua hari,” ujarnya.
Mayat penunggang motosikal dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan itu menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim 017-757 3507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.