Oleh : Zahir Senapiah
PONTIAN : Polis menahan seorang pemandu lori bagi membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan enam kenderaan di jalan Pekan Nanas-Pontian.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohd Sofee Tayib berkata, suspek ditahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000.
Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari semalam, pemandu sebuah lori dilaporkan gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar sebuah lori di hadapan menyebabkan sebuah lagi lori dan tiga kereta turut terbabit dalam nahas itu.
Katanya, siasatan awal mendapati pemandu lori yang dilanggar tersepit dan cedera di dada serta kaki.
Mangsa berumur 27, rakyat tempatan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
Manakala kelindannya cedera dan dibawa ke Hospital Pontian.
Pemandu empat kenderaan lain tidak cedera.
Polis meminta saksi kemalangan berkenaan menghubungi Inspektor Nurhisyam Shafik di talian 019-9825324.