BATU PAHAT: Seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun yang dikesan memandu secara melulu di Jalan Sri Bengkal-Parit Yaani, ditahan polis kurang daripada 24 jam selepas video tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, suspek ditahan pada jam 4.10 petang tadi, di kawasan Taman Cemerlang oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Batu Pahat hasil maklumat orang awam.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 8.19 pagi semalam, ketika suspek dalam perjalanan dari Parit Yaani menghala ke Sri Medan,” katanya ketika dihubungi BH.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas dadah dan tidak memiliki rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda sehingga RM15,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu, polis mengesan suspek selepas video pemanduan berbahaya itu tular di media sosial, yang menunjukkan tindakannya hampir meragut nyawa pemandu lain dari arah bertentangan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.